Perempuan yang sengaja cari pasal

 

Dalam blog ini tidak berapa lama dulu, saya pernah menegaskan bagaimana perempuan sememangnya mudah lentuk dengan lelaki.
Bila kena puji sikit mulalah perasan dan paling teruk bila sudah dilamun cinta mereka anggap kekasih mereka satu-satunya lelaki di muka bumi Allah ini.
Sebelum berkahwin mereka tidak kisah apa pun perangai kekasih, semuanya diterima seadanya, atas alasan “setiap manusia pasti ada kelebihan dan kelemahannya.” – Amboi! Sedapnya hujah!
Hakikatnya, mereka tak mahu kaji betul-betul apakah perangai kekasih mereka itu sesuai atau tidak dengan mereka. Oleh kerana dilamun cinta maka mereka mahu memastikan si kekasih menjadi teman seumur hidup.
Kalau tergerak di hati emak bapak bahawa si lelaki tidak sesuai untuk anaknya, si perempuan tidak akan peduli, silap-silap mereka tuduh emak bapak tak faham perasaan mereka.
Tetapi apabila sudah berkahwin barulah mereka tahu macam mana perangai suami masing-masing. Saya tak kata semua lelaki macam tu, Cuma saya bosan apabila mendengar keluhan demi keluhan oleh sesetengah isteri mengenai suami masing-masing.
Saya bangkit persoalan ini kerana ada wanita emosional apabila mengulas tulisan saya beberapa bulan lalu mengenai patutkah suami serah semua gaji kepada isteri. Ada antara mereka kata, memang patut pun suami berbuat demikian apatah lagi suami yang lupa tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak.
Saya setuju tindakan itu kalau betul suami berperangai sedemikian, tetapi soalnya yang si isteri tak mahu teliti betul-betul perangai si suami sebelum berkahwin itu apa hal? Bila dah berkahwin baru nak menyesal. Sepatutnya si isteri reda sahajalah sebab mereka yang cari fasal mahu kahwin sangat dengan lelaki berkenaan.
Apa yang paling saya menyampah ada sesetengah wanita sebelum berkahwin kata, lelaki yang dipilih menjadi suaminya amat memahami dirinya dan mencintai dia sepenuh hati, sesetengahnya pula mendakwa mendapat hidayah dari Allah SWT tetapi apabila berlaku pergaduhan yang berakhir dengan perceraian, barulah nak kata ini takdir.
Saya nak nasihatkan kaum wanita jangan mudah salahkan takdir. Memang Allah menentukan segala-galanya tetapi Allah juga tidak akan mengubah nasib kita, kalau kita tidak mengubahnya sendiri. Tetapi masalahnya kebanyakan perempuan degil!
Cakaplah apa pun fasal mereka, bila sudah kemaruk cinta mulalah mata dibutakan untuk menilai antara kebaikan dan keburukan. Saya bukannya tak simpati dengan sesetengah perempuan yang terpaksa menjadi janda tetapi kenapa sebelum kahwin tak fikir semasak-masaknya?
Kalau perempuan nak kata lelaki pandai berlakon, saya rasa perempuan lebih bijak bersandiwara. Oleh itu tidak perlulah nak menyesal apabila berlaku sesuatu dalam perkahwinan. Tidak payahlah nak tuding jari nak salahkan lelaki sahaja, perempuan pun patut dipersalahkan.
Ada sesetengah perempuan bila ibu bapa nak nasihatkan jangan berkawan atau berkahwin dengan lelaki tertentu, mereka akan ‘mengamuk.’ Ada antaranya sanggup lari dari rumah kononnya demi cinta sejati tetapi kesudahannya apabila ditimpa masalah emak bapak juga jadi tempat untuk mengadu.
Saya nak beritahu, dalam rumah tangga memang banyak dugaannya kerana selepas berkahwinlah kita akan tahu perangai sebenar pasangan masing-masing.
Rumah tangga ibarat bahtera yang perlu dilayari dengan hati-hati di lautan. Tidak boleh main redah begitu sahaja. Sebab itulah orang kata, memilih nakhoda (suami) itu penting.
Nakhodalah yang akan bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak kapal (isteri dan anak-anak). Kalau dah tahu bakal nakhoda perangai macam pelesit, yang perempuan pilih dia juga, apa fasal?
Jadi saya hendak tegaskan di sini, apa pun keadaan, si isteri tidak berhak mengambil kesemua gaji suami. Hak suami adalah hak suami. Si isteri hanya berhak meminta bahagian untuk dia dan anak-anak sahaja. Kalau tidak mahu terjebak dengan mana-mana lelaki yang tidak bertanggungjawab apabila menjadi suami, maka jangan mudah terpengaruh dengan mabuk asmara.
Orang tua-tua selalu berpesan, jangan biarkan kemanisan rumah tangga hanya tiga bulan. Kenapa tiga bulan? Kerana dalam tempoh itulah, si suami dan si isteri boleh mengenal perangai sebenar pasangan masing-masing.
Namun ini bukanlah bermakna ambil cara mudah dengan bergaduh atau bermasam muka. Carilah pendekatan terbaik untuk menyelesaikan masalah.
Kita yang rela dia menjadi suami, maka kenalah terima apa pun perangainya, kecualilah kalau jahat sangat sampai hantu raya tengok pun lari!
Bagi saya, dalam soal ini saya tetap anggap kebanyakan perempuan bersalah kerana mereka bukan sahaja tidak pandai jaga diri malah sering kali terbukti suka ikut rasa hati, akhirnya gigit jari hingga kecewa sampai ke mati.
Sekian dan terima kasih kerana sudi membaca entri yang panjang ini.      
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s