Luahan Rasa Anak Kelantan

Termenung dihujung sudut di sebuah ‘wokaf’ di ibukota Malaysia. Melihat daun-daun taman melambai lantas teringat akan kampung halaman tercinta negeri Kelantan Darul Naim. Di sana, ia bukan sahaja sebuah negeri, ia juga bukan Kota Metropolitan, ia juga bukan kota hiburan untuk anak muda, ia bukan medan manusia mengejar harta benda dunia. Tapi, ia adalah sebuah kehidupan. Kehidupan yang amat jarang diperolehi di bumi bertuah Malaysia.

Bagaimana sebuah jatidiri disemai, sejak usia 1 tahun lagi. Diajar, dilatih, ditunjuk untuk mengenal apa itu ‘kecek Kelate’ , apa itu ‘semangat Tok Janggut’ , apa itu erti ‘merubah kehidupan’ .

Masuk sahaja alam persekolahan, di sinilah ia bermula. Ibu, bapa, guru serta rakan menjadi rujukan informasi berguna. Hari demi hari, dari Darjah 1 sehingga Tingkatan 5 mereka dingatkan hanya dengan ‘agama, kejayaan akademik dan jati diri’ saja mampu mengubah nasib anak bangsa Cik Siti Wan Kembang.

Nescaya, ia sebuah tonik. Satu persatu anak bangsa ini mula mengemas baju, menyimpan erat segulung sijil, seluas laut jati diri persis Tok Janggut, segunung kasih kepada ibubapa, seluruh kehidupan kepada Ilahi. Mula melangkah keluar dari pintu rumah, keluar dari negeri keramat, Kelantan.

Melangkah keluar dari negeri kami, bukan bererti kami benci. Tapi darah kami, adalah darah perantau. Ia seperti sebuah perjalanan, dalam mencari sebutir bekal untuk dibawa pulang ke negeri kami. Ini juga bukan paksaan, tetapi ia sebuah tanggungjawab. Tanggungjawab membalas budi ma dan ayoh kami. Membanting tulang memukul jerami padi, bersengkang mata menoreh getah, seawal pagi mengheret lembu ke padang ragut hanya untuk sebuah kejayaan anak mereka.

Itulah gambarannya, mengapa kami sanggup berhijrah walau jauh beribu batu. Hasilnya, setiap pelosok di Malaysia pasti anda terdengar orang ‘kecek Kelate’, setiap kedai ada menjual budu, setiap orang ada memiliki jersi TRW, setiap orang pasti mengagumi orang Kelantan.Jika ke IPTA, jika ke pejabat awam, jika ke pusat perniagaan pasti anda mendengar dari jauh orang ‘kecek Kelate’ . Itulah kami. Itulah sebuah jati diri. Jati diri yang pastinya, tidak dimiliki oleh sesiapa pun. Malah jati diri ini tetap bersamanya walau jauh ke Kota London, ataupun penghujung benua, setinggi gunung Everest tetap berbangga sebagai Anok Kelate.

Namun, semua ‘kebanggaan’ ini perlu dibayar. Dibayar dengan rasa cemburu oleh segolongan manusia. Manusia yang berwajah dua ini, seringkali menghiris hati anak bangsa Kelantan. Seringkali menghina, mengutuk, mengeji peribadi Anok Kelate. Kata mereka, Kelantanlah lubuk miskin, rakyat gedebe, tiada tolak ansur, tiada pekerti. Setiap hari, ada saja diskriminasi terhadap Anok Kelate.

Percayalah, walau sehebat manapun strategi ‘Art of War’ ataupun ‘Niccolo Machiavali ‘ untuk menjatuhkan maruah anak Kelantan, ia tetap kebal. Ia kerana kami dididik dengan sebuah jati diri ‘semangat anok KELATE’ nun jauh di negeri Cik Siti Wan Kembang. Percayalah, sejauh mana anda menghimpit kami, menghina kami, diskriminasi kami selagi itulah kami bangkit. Bangkit untuk menegak sebuah keadilan yang perlu bagi anak-anak kami, bakal anak-anak kami, bakal cucu kami di Kelantan sana sedar inilah kehidupan ‘plastik’ di bumi Malaysia.

Ambo, kawe, demo, aku, mu, kito adalah anok Kelate.

“Anda boleh membunuh 100 pemuda Kelantan, tetapi anda belum tentu mampu membunuh 1 jiwa pemuda Kelantan “

Coretan :
Pok Dogo
Untuk I ♥ KELANTAN
Khamis, 5.40 Pagi
27 September 2012

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s