Kahwin ‘Touch n Go’


TAWAU: Kahwin ‘Touch n Go’. Itu gambaran kepada ayah kanak-kanak jalanan di sini yang sering mengamalkan poligami sebelum meninggalkan keluarga untuk berhijrah ke tempat lain.

Di tempat baru pula, mereka berkahwin lain sebelum meninggalkan keluarga baru itu dan berpindah tempat lagi.

Keadaan itu menyebabkan si isteri menjalani kehidupan sendirian tanpa mengetahui lokasi suami mereka. Lebih memeritkan, anak hasil perkahwinan itu tidak boleh didaftarkan kelahirannya termasuk memiliki dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan disebabkan ayah yang ‘ghaib’ itu.

Pemangku Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jumaat Hassan, berkata masalah kahwin ‘Touch n Go’ seperti ini menjadi antara punca utama kewujudan kanak-kanak jalanan di Tawau dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Ada kes seorang remaja lelaki hanya berjaya mendapat kad pengenalan ketika berumur 18 tahun. Sebelum itu, dia tidak pernah memiliki sijil kelahiran dan diserahkan kepada keluarga angkat oleh ibunya sejak bayi selepas ditinggalkan ayahnya.

“Selepas hampir setahun menjejaki si ayah, akhirnya keluarga angkat remaja itu menemuinya di Papar (596 kilometer dari Tawau) sebelum memintanya melakukan urusan untuk mendapatkan kad pengenalan anaknya,” katanya di sini, baru-baru ini.

Sepanjang tidak mempunyai kad pengenalan, remaja yang dikenali sebagai Mohd Kalno itu terpaksa melakukan kerja kampung dan tidak pernah ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan.

Mujur keluarga angkatnya tidak mengabaikan Mohd Kalno dengan mengajarnya membaca dan menulis di rumah bagi mengelakkan remaja terbabit buta huruf.

Walaupun dilahirkan di Tawau, difahamkan Mohd Kalno pernah ditangkap pihak berkuasa sebelum dihantar ke sebuah pulau di Filipina ketika berusia 16 tahun akibat tidak mempunyai kad pengenalan (ketika itu) sebelum dia pulang semula ke Tawau.

“Masalah berkahwin ramai dan kemudian meninggalkan anak dan isteri sering kali dihadapi di sini dan ia menjadi antara punca kanak-kanak jalanan ini tidak mempunyai dokumen diri,” katanya.

Menurut Jumaat, beberapa operasi bersepadu antara polis, MPT, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tawau dijalankan bagi mengatasi masalah kanak-kanak jalanan ini.

“Namun disebabkan ketiadaan dokumen pengenalan diri dan undang-undang, mereka ditahan dan ada sebahagiannya dihantar pulang sama ada ke Filipina mahupun Indonesia,” katanya.

Ketua Anak Negeri Parlimen Kalabakan, Mansor Palullah, berkata ramai juga individu yang berkahwin di seberang dan tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini.

“Mungkin disebabkan tidak mahu dikenakan denda dan sebagainya (selepas mendaftarkan perkahwinan), akhirnya pasangan itu tidak boleh mendaftarkan kelahiran anak mereka.

“Dalam hal ini, tahap kesedaran yang rendah di samping enggan mengikuti peraturan ditetapkan menyebabkan anak mereka tidak mempunyai dokumen diri yang sah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Daerah OKK, Mohd Ayub Kee Abu Bakar, berkata masalah kanak-kanak jalanan ini perlu diberi perhatian khusus oleh kerajaan kerana ia banyak memberi kesan terhadap pembangunan Tawau terutama dalam jangka masa panjang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s