Saiz pinggang petanda sakit jantung

“KALAU awak hendak guna tangga, silakan. Saya sayang lemak,” gurau seorang teman ketika kami berpecah haluan untuk masuk ke tempat kursus di sebuah hotel. Dia menuju ke lif, aku pula ke pintu ruangan tangga. Mengah juga untuk sampai ke tingkat tiga tetapi memikirkan kesihatan, aku gagahkan juga mendaki hampir 80 anak tangga.
Bagi pekerjaan yang banyak duduk, menggunakan tangga untuk naik atau turun ke tingkat lain boleh dijadikan pengganti sebahagian aktiviti senaman harian. Ia antara alternatif untuk menyihatkan badan dan lebih bagus jika anda dapat memanjangkan tempoh aktiviti cergas kepada 30 minit sehari.
Untuk sihat kita memang perlukan sedikit pengorbanan – sekurang-kurangnya sanggup mengorbankan simpanan lemak berlebihan dalam badan. Tidak kira apa pun jenis aktiviti pilihan anda, namun senaman seringkas berjalan cepat yang dijadikan amalan harian dapat membantu mencegah pelbagai penyakit kronik yang berkaitan gaya hidup termasuklah sakit jantung.
Seorang kawan pernah berkata, wanita beruntung kerana terselamat daripada serangan jantung. Ya, betul untuk wanita yang masih ada haid. Bagi wanita yang sudah menopaus, risiko mendapat serangan jantung sama seperti lelaki malah bilangan wanita yang mati akibat serangan jantung sebenarnya lebih tinggi daripada disebabkan kanser payudara.
Malangnya masih ramai yang berat hati untuk memulakan kehidupan cergas. Ada kajian mendapati tabiat suka duduk berehat sepanjang masa boleh memendekkan hayat. Secara purata risiko kematian awal akibat duduk terlalu lama (tidak aktif langsung) pada wanita ialah 94 peratus dan 48 peratus pada lelaki.
Lebih lama kita duduk, semakin kurang tenaga digunakan dan akibatnya kita mengalami masalah pertambahan berat badan.
Jika tiada langkah pencegahan iaitu perubahan gaya hidup, ia akan mendekatkan kita dengan masalah obesiti. Seperti diketahui, obesiti adalah pencetus kepada pelbagai penyakit kronik yang lain.
Kebanyakan orang risau apabila berat badan bertambah tetapi saintis mendapati apa yang perlu diberi lebih perhatian ialah penambahan saiz pinggang dan pinggul kerana ia berkait rapat dengan risiko penyakit jantung.
Penyelidik Universiti Texas mengesahkan saiz pinggang menjadi petanda utama penyakit jantung berbanding berat badan berlebihan. Malah ukuran pinggang yang dikategori ‘masih boleh diterima’ iaitu 81 sentimeter (32 inci) bagi wanita dan 94 sentimeter (37 inci) bagi lelaki juga mempunyai risiko untuk mendapat penyakit jantung.
Ini kerana lemak yang terkumpul di kawasan pinggang didapati lebih aktif kerana ia merembeskan protein kerada�ngan yang menyumbang kepada pembentukan aterosklerosis (plak kolesterol pada dinding salur darah) – dan akhirnya boleh membuatkan salur darah tersumbat.
Selain penyakit jantung, pakar perubatan juga sependapat saiz pinggang melebihi 88.9 sentimeter (35 inci) bagi wanita dan 101.6 sentimeter (40 inci) bagi lelaki juga boleh mendekatkan mereka dengan kencing manis.
Kajian ke atas 2,744 individu dewasa itu turut mendapati bentuk badan ada kaitan dengan penyakit jantung kerana penambahan beberapa inci saiz pinggang boleh meningkatkan risiko kerosakan salur darah di jantung walaupun mempunyai berat badan dalam julat normal.
Masih berkira-kira hendak bersenam? Baiklah, mungkin anda tidak tahu, apabila kita duduk terlalu lama, otot terutama pada kaki akan merangsang atau menyekat pelbagai jenis hormon yang akhirnya memberi kesan kepada paras kolesterol.
Kita tahu paras kolesterol baik hanya boleh ditingkatkan melalui senaman. Tiada makanan ajaib mampu meningkatkan paras kolesterol baik yang sangat penting untuk melindungi kita daripada penyakit jantung.
Kajian Fakulti Perubatan Universiti Stanford mendapati berlari (berjoging) boleh membantu meningkatkan jangka hayat. Kajian selama 21 tahun itu menunjukkan berlari boleh melengahkan kehilangan keupayaan berkaitan umur selama 16 tahun dan memanjangkan jangka hayat selama 19 tahun. Di dalam kumpulan pelari, hanya 15 peratus meninggal dunia (akibat sakit jantung, kanser, strok dan masalah saraf) berbanding 34 peratus di kalangan kumpulan bukan pelari.
Senaman tahap sederhana selama 30 minit sehari, lima kali seminggu memadai untuk mengekal dan meningkatkan kesihatan. Selain itu masukkan juga senaman regangan dan ketahanan dua kali seminggu untuk menjaga keanjalan otot dan merangsang metabolisme.
Bagi yang selalu tertanya bagaimana ada individu berumur lanjut tampak awet muda, senaman adalah jawapannya. Ia adalah ubat untuk awet muda yang sangat mujarab. Gaya hidup aktif membantu mengekalkan jisim otot, merangsang metabolisme, menguatkan jantung dan paru-paru, membantu mengawal tekanan darah, paras gula dan kolesterol darah, meningkatkan keseimbangan, melancarkan aliran darah dan mengawal berat badan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s