Kita Berharap Kajian Semula Pemberian Biasiswa Akan Dibuat Secara Telus & Terbuka

BARU-BARU ini saya menerima panggilan telefon daripada seorang kenalan yang juga pemimpin sebuah parti politik di peringkat cawangan. Beliau bukanlah “VIP” penting dalam parti tersebut tetapi seorang pemimpin di peringkat akar umbi yang amat aktif sekali.

Nadanya tersedu-sedu dan sebak seketika sebelum beliau meneruskan perbualannya dengan saya mengenai masa depan anaknya yang gagal mendapat sebarang biasiswa walaupun memperolehi 7A dalam peperiksaan SPM 2010.

Beliau bekerja sebagai kerani di sebuah jabatan kerajaan manakala isterinya hanyalah seorang suri rumahtangga. Kedua–dua anak kembarnya mendapat 7A dalam peperiksaan SPM, tetapi gagal memperolehi sebarang biasiswa kerajaan mahupun program matrikulasi.

Katanya, dia telah berjumpa dengan semua pemimpin untuk mendapat sokongan, rayuan dan bantuan tetapi segala percubaan serta permohonannya menerima jawapan “dukacita dimaklumkan permohonan anda gagal”.

Sungguhpun begitu semangatnya tidak luntur sama sekali. Dia cuba melakukan yang terbaik demi masa depan anak-anaknya.Dia membuat keputusan untuk menghantar anaknya ke sebuah universiti swasta bagi mengikuti program A-Level tetapi sekali lagi hasrat dan niatnya itu tercabar dan bertambah sukar kerana kosnya terlalu tinggi.

Dia terpaksa meminta tolong daripada kawan–kawan,pemimpin politik dan saudara mara untuk meminjam wang setakat mana yang boleh tetapi segala percubaannya sekali lagi tidak tercapai.

Ketika di saat itulah dia terfikir betapa pentingnya simpanan wang dapat menjamin masa depan anak-anak tanpa bergantung pada mana–mana pihak.

“Saya tak perlu tadah tangan kepada sesiapa sekiranya saya ada simpanan sendiri…,” katanya kepada saya.

Saya dapat menyelami perasaan dan bisikan hati seorang bapa yang terpaksa menanggung pelbagai rintangan, cabaran dan pengorbanan dalam misinya mengejar ilmu demi masa depan anak-anaknya.

Begitulah serba sedikit cerita tentang kenalan saya itu yang berkisar mengenai isu biasiswa dan betapa pentingnya kuasa “Ringgit Malaysia” dalam menentukan masa depan seseorang individu dalam bidang pendidikan pada zaman ini.

“Yang kaya tu tak kisahlah, mereka mampu menghantar anak mereka sampai ke luar negara tetapi bagi kumpulan dan golongan yang miskin serta berpendapatan rendah pula macam mana? Sudah tentulah mereka mengharapkan biasiswa kerajaan ataupun swasta,” begitulah intipati kandungan emel yang diterima oleh saya daripada seorang rakan dari Ipoh baru–baru ini.

Persoalannya, apakah faktor kekayaan dan kemiskinan yang dapat menentukan hala tuju serta nasib seseorang pelajar? Pastinya ibubapa perlu pandai merancang masa depan anak–anak mereka sejak kecil lagi. Pada masa yang sama, setiap pelajar yang cemerlang yang “berhak” menerima bantuan harus dibantu tanpa mengira status mereka.

Bercakap mengenai isu tersebut, kerajaan memang sudah menyatakan kriteria–kriteria yang tertentu mengenai pemberian biasiswa JPA kepada para pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang iaitu hanya kepada mereka yang memperolehi 8A+ ke atas.

Bagaimanapun, yang menjadi rungutan pelajar ialah mereka ditawarkan jurusan yang bukan menjadi pilihan utama mereka atau sepadan dengan keputusan mereka.

Disebabkan karenah tersebutlah ada segelintir pelajar dan ibubapa terpaksa mencari ruang di media massa untuk melontorkan bisikan hati mereka. Ada pula dikalangan mereka terpaksa merayu kepada parti–parti politik yang mewakili kaum mereka disebabkan tidak mampu lagi menghadapi tekanan emosi dan mental.

Terdapat satu kes seorang pelajar keturunan India yang mendapat 12A+ ditawarkan jurusan Sains Veterinar. Pelajar tersebut yang berasal dari keluarga yang miskin akhirnya tiada pilihan dan terpaksa merayu kepada Presiden MIC, Datuk G. Palanivel bagi membantunya menyelesaikan isu tersebut.

Berkat usaha presiden MIC itu, pelajar berkenaan akhirnya ditawarkan biasiswa penuh dalam jurusan perubatan di sebuah universti swasta dalam negara dan bukannya luar negara walaupun pelajar tersebut pernah menerima beberapa anugerah cemerlang sebagai pelajar terbaik SPM 2010 namun nasibnya tidak menyinar sepertimana keputusannya mendapat 12A+.

Isu–isu seperti inilah yang menyebabkan reputasi JPA dan kerajaan tercalar.

Pada masa yang sama, jangan pula kita pandai-pandai mahu menuduh sistem pendidikan negara sebagai kononnya “kurang standard” sekiranya ramai dikalangan para pelajar mampu meraih 6A, 7A, 8A 9A ataupun 12A.

Mungkin kerajaan perlu menilai semula sistem gred yang melibatkan “plus dan minus” disebabkan banyak sangat kekeliruan dalam membezakan sesuatu gred. Ada yang tetap mempertahankan A tetap A dan apalah ada pada “plus dan minus” ini?

Apa pun berikanlah suntikan semangat, sokongan, kerjasama dan bantuan kepada mereka supaya dapat mendakap kecemerlangan di peringkat pengajian tinggi dalam jurusan pilihan mereka mengikut prestasi masing–masing.

Isu biasiswa ini sudah menjadi semakin kritikal dan kontroversi malah sudah disensasikan sehingga dipolitikkan setiap kali keputusan SPM diumumkan sejak kebelakangan ini. Malah isu–isu seperti ini perlu dibendung segera kerana pendidikan merupakan satu perkara yang amat sensitif kepada masyarakat. Sepertimana yang termaktub dalam gagasan 1 Malaysia iaitu menjamin kesaksamaan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan mampu diperolehi semua warga Malaysia untuk semua peringkat pendidikan terutama bagi penduduk luar bandar. Kita harap pihak–pihak yang terbabit dapat menjadikan panduan tersebut sebagai satu “pegangan” kuat untuk merealisasikan harapan rakyat.

Berikanlah keutamaan kepada semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang khususnya yang mendapat 6A+ dan 7A+ yang datang dari keluarga misikin tegar serta berpendapatan rendah dari kawasan luar bandar seperti dari estet, rumah panjang dan kampung. Ini kerana kumpulan seperti ini “tidak mampu” menyara kos pengajian anak-anak mereka disebabkan masalah kemiskinan dan tidak memiliki banyak kemudahan yang lain sepertimana di bandar.

Kita tidak boleh membiarkan kumpulan tersebut tercicir begitu sahaja disebabkan gagal memenuhi kriteria 8A+. Mutu dan prestasi mereka mungkin lebih terserlah sekiranya mereka diberikan bantuan yang sewajarnya sehingga menjadi insan yang terbilang.

Mungkin pihak kerajaan dan agensi yang terbabit dapat membentuk satu “pangkalan data” berkaitan dengan para pelajar yang cemerlang termasuk yang mendapat 8A, 7A dan 6A serta memantau prestasi masing–masing dari semasa ke semasa sehingga mereka berjaya mendapat ijazah masing–masing.

Dalam konteks ini, ramai pihak yang menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru–baru ini menyatakan mulai tahun depan polisi sedia ada dalam pemberian biasiswa JPA kepada pelajar cemerlang akan dikaji semula secara menyeluruh.

Kita sama–sama berharap kajian tersebut akan dilakukan secara terbuka dan terperinci demi masa depan semua pelajar 1 Malaysia.

2 thoughts on “Kita Berharap Kajian Semula Pemberian Biasiswa Akan Dibuat Secara Telus & Terbuka

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s