Tidak haram isteri tanggung belanja rumah

BENARKAH rakan saya mengatakan haram jika seorang isteri menanggung sebarang kos perbelanjaan seperti makanan dan pakaian kerana itu menjadi tanggungjawab suami sepenuhnya. Alhamdulillah pendapatan saya lebih besar daripada isteri cuma perbelanjaan keluarga kami kongsi bersama. Bagaimanapun, saya masih menanggung sebahagian besar perbelanjaan seperti ansuran rumah dan kereta, pakaian, persekolahan anak-anak, pembantu rumah, insurans dan perubatan. Isteri pula mengeluarkan perbelanjaan untuk keperluan dapur serta makanan termasuk susu anak.

Minta Dr beri penjelasan mengenai perkara terbabit.

ZAINAL
Perak

ISLAM menetapkan kewajipan suami isteri antaranya, suami wajib menyediakan nafkah kepada isteri dan anak berbentuk makanan dan minuman, tempat kediaman, pakaian serta perubatan.

Dalam keperluan memberi nafkah, ia hendaklah bergantung kepada kemampuan suami. Sementara isteri wajib melayan suami sepenuhnya di samping memenuhi tanggungjawab lain, sesuai dengan kedudukannya sebagai isteri dan ibu.

Islam menghendaki suami bekerja untuk menanggung anak dan isteri. Apabila suami bekerja, isteri pula menguruskan rumah tangga dan anak termasuk menjaga makan dan minum serta melakukan kerja rumah.

Itulah pembahagian kerja yang adil antara suami isteri. Isteri tidak boleh bergoyang kaki menunggu suami. Isteri perlu menyumbang usaha membangunkan rumah tangga supaya bahagia dan selesa.

Perkara berkenaan dibuktikan apabila puteri Rasulullah s.a.w, Fatimah al-Zahra iaitu isteri Saidina Ali bin Abu Talib melakukan kerja rumah seperti memasak, membakar roti dan mengisar tepung hingga diriwayatkan tangannya menjadi pecah-pecah.

Oleh kerana kerja rumah sangat berat, Fatimah dan suaminya pernah mengadu kepada Nabi s.a.w supaya mengizinkannya mendapatkan pembantu rumah.

Tetapi Nabi s.a.w menyuruh Fatimah terus melakukan kerja itu dan tidak pula menyuruh Ali melakukan kerja rumah atas tanggungjawabnya sebagai suami.

Pada hari ini, ramai pasangan suami isteri bekerja. Keadaan itu ada kalanya menyebabkan urusan rumah tangga tidak sempurna. Kebanyakan keluarga memilih untuk mempunyai pembantu rumah sementara anak pula dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak.

Mengenai pendapat kenalan anda itu, ia sama sekali tidak benar dan keterlaluan jika ada menyatakan haram jika isteri membayar kos barang makanan dan keperluan lain.

Islam membenarkan isteri membayar secara sukarela, lebih-lebih lagi apabila dia mempunyai pendapatan sendiri. Tidak adil jika semuanya ditanggung suami seorang diri. Dalam keadaan ini, sudah tentu perkongsian yang adil perlu dirancang.

Saya berpendapat, apa yang anda lakukan sudah memenuhi tanggungjawab. Cuma kita tidak mahu berlaku isteri menuntut sesuatu perkara yang berlebihan hingga menzalimi suami.

4 thoughts on “Tidak haram isteri tanggung belanja rumah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s